CIRI - CIRI GURU BERKESAN
Pengenalan
Pengenalan
“ ...... Kini, matlamat
menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 juga amat bergantung kepada
keupayaan dan kesungguhan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan
pendidikan berkualiti. Tugas guru adalah untuk melaksanakan amanah dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.
Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh
sungguh, jujur dan ikhlas dalam
mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi. Saya yakin, semua
guru sentiasa berusaha ke arah memberi pendidikan yang terbaik bagi memenuhi
keperluan dan permintaan ibu bapa serta murid-murid ........... ”
Inilah
sepotong ayat yang diambil daripada Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia Y.A.B
Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin sempena Hari Guru 2011. Petikan ini
jelas menunjukkan betapa perlunya guru yang berkesan terhadap pembangunan
sesuatu negara bangsa. Bermulanya tugas guru adalah di bilik darjah dengan
pelajar – pelajarnya. Penyampaian dan penyebaran ilmu di bilik darjah amat
berharga untuk melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, jati diri yang
tinggi, berakhlak mulia dan berkemahiran. Merujuk kepada pandangan Stephen
Covey dalam bukunya yang tersohor “ Habits Of Highly Effective
People ” ( 1989 ) yang menyatakan bahawa salah satu tabiat yang
menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidup dan kehidupannya ialah dengan
memikirkan matlamat pada setiap permulaan usahanya. Persoalannya sekarang,
apakah ciri – ciri guru berkesan dalam bilik darjah berdasarkan nilai- nilai
Bitara ? Ini telah digambarkan menerusi tema Hari Guru 1999 iaitu “
Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang ”. Kejayaan dan kecermelangan
sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem nilai, kepercayaan, iklim
semangat dan budaya yang dipamerkan setiap masa oleh warganya dan pihak yang
besar fungsinya tidak lain tidak bukan barisan guru – guru.
Bagaimana
dan apakah ciri – ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru berkesan itu? Ketua
Pengarah Pendidikan Malaysia 1999, Dato’ Abdul Shukor Abdullah telah
menyenaraikan ciri – ciri guru berkesan sebagaimana berikut
1. Bersikap profesional.
2. Mempamerkan ciri – ciri kekuatan teori.
3. Kaya ilmu.
4. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
5. Bermoral teguh.
6. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
7. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
8. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan pelajar.
9. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan
tuntutan semasa.
10. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia,
berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.
11. Mempastikan situasi “Guru mengajar murid belajar”
wujud dalam bilik darjah.
12. Berupaya melahirkan ‘ persekolahan berwatak’ supaya
pelajar mempunyai kekuatan ilmu, personaliti sihat dan serba boleh.
13. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
14. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan
diri.
15. Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan
martabat profesional dan menumpukan
perhatian kepada p&p di sekolah
Nilai – nilai Bitara.
Bitara
membawa maksud unik, unggul, tiada tolok bandingannya dan lain dari yang lain.
Ringkasnya nilai bitara ialah satu sifat yang tertinggi dan terunggul. Oleh
itu, seorang guru yang bertugas menjana modal insan harus berada digaris
hadapan dalam memiliki nilai bitara ini. Ini dapat membantu meningkatkan taraf
pendidikan negara di peringkat globalisasi setanding dengan negara maju.
“
A man is, but the product of his thoughts what he thinks, he becomes”
(
Mahatma Gandhi, 1869-1948)
Penyataan ini menunjukkan pentingnya
mempelajari dan mencapai tahap nilai – nilai yang membentuk personaliti bitara.
Nilai – nilai bitara yang terdiri daripada berintegriti, semangat berpasukan,
berorientasikan pelanggan, kreatif dan inovatif, profesional dan prihatin
kebajikan anggota dapat melahirkan individu yang bersahsiah tinggi dan
mempunyai semangat jati diri yang kental. Universiti Perguruan Sultan Idris
menggariskan enam Nilai Bita dengan empat petunjuk bagi setiap nilai seperti
berikut:
BERINTEGRITI
|
Amanah
|
Telus
|
Akauntabiliti
|
Adil
|
SEMANGAT
BERPASUKAN
|
Muafakat
|
Fokus matlamat
|
Hormat
menghormati
|
Bangga UPSI
|
BERORIENTASIKAN
PELANGGAN
|
Responsif
|
Proaktif
|
Mesra
|
Berkualiti
|
PROFESIONAL
|
Iltizam
|
Cinta Ilmu
|
Kompeten
|
Beretika
|
PERIHATIN
KEBAJIKAN
ANGGOTA
|
Empati
|
Penghargaan
|
Keselesaan
Persekitaran
|
Peluang untuk
maju
|
KREATIF DAN
INOVATIF
|
Penambahbaikan
berterusan
|
Nilai tambah
|
Rebut peluang
|
Berdaya cipta
|
1.
Bersikap profesional
Profesional
merujuk kepada kemampuan dan kemahiran dalam profesion serta melibatkan
kemahiran dan kecekapan. Guru berkesan haruslah bersikap profesional dalam
menjalankan tugas terutama di bilik darjah. Melalui petunjuk nilai bitara sikap
profesional seorang guru dikategorikan dalam empat agenda iaitu beretika,
beriltizam, cinta ilmu dan kompeten. Sebagai seorang guru kod etika menjadi
panduan dalam menjalankan tugas. Oleh itu, guru perlu menunjukkan role
model yang baik kepada pelajar dari segi tingkah laku, pertuturan dan
personaliti agar ini menjadi panduan kepada pelajar. Ini kerana tugas guru di
bilik darjah bukan sekadar menyampaikan ilmu malah tardapat tanggungjawab yang
abstrak iaitu mendidik pelajar dengan menanamkan nilai – nilai murni dalam jiwa
pelajarnya. Nilai ini diajar secara terus atau penyerapan. Pelajar melalui
proses belajar cara belajar dengan membaca, mencatat, mengkaji dan memerhati.
Oleh itu, guru perlu bersikap profesional terhadap pelajarnya agar modal insan
ini pada masa depan menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Selain itu, sikap profesional
dilihat dengan petunjuk bitara iaitu beriltizam dalam menjalankan tugas di
bilik darjah dengan penuh semangat. Guru mesti mengajar dengan bersungguh –
sungguh tanpa memilih pelajar. Semua pelajar harus dijanakan dengan ilmu yang
diajar secara sama rata. Guru mesti mempunyai visi dan misi terhadap tugasnya
dan berusaha untuk merealisasikan misinya seperti juga dia berusaha untuk
mencapai objektif pengajarannya. Iltizam yang tinggi disertai dengan usaha yang
bersungguh- sungguh tanpa mengira masa dan tenaga. Sesi pengajaran dan
pembelajaran dirancang dengan betul berdasarkan sukatan pelajaran dan
memastikan semua murid melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran agar ilmu
yang disampaikan dapat dijanakan dengan sempurna.
Guru
sebagai penyampai ilmu perlu menguasai ilmu pengetahuan dalam semua bidang
melalui pembelajaran sepanjang hayat. Para pelajar menganggap guru dapat
menyelesaikan semua permasalahan yang dihadapi kerana bagi mereka guru adalah
segala – galanya. Oleh itu, guru harus peka dengan persekitaran dan isu semasa.
Perkara ini dirujuk dalam nilai bitara dibawah tunjang profesional iaitu
petunjuk cinta ilmu. Guru berkesan berusaha memastikan situasi ‘guru
mengajar murid belajar’ wujud dalam bilik darjah agar proses
pengajaran dan pembelajaran sebagai aliran penyebaran ilmu berjaya dilaksanakan
sepenuhnya. Apakah pengetahuan? Adakah pengetahuan sahaja sudah cukup? Ini
dijawab oleh Phillip Van Hooser ( 1998 ) yang menyatakan bahawa pengetahuan
bukan didefinisikan oleh sijil dan diploma, ia juga bukan satu ukuran yang
tepat berdasarkan angka gred mata purata atau kekananan dan kelamaan seseorang
itu dalam bidang tugasnya. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman terhadap apa
yang diperlukan dan dijangkakan merupakan pengetahuan kerja yang praktikal.
Guru yang kaya ilmu sentiasa meneroka sumber maklumat agar yang disampaikan
kepada pelajar dibilik darjah tepat dan jelas. Ilmu merentas kurikulum melalui
penggabungjalin dan penyerapan aktiviti pembelajaran menuntut guru menguasai
bukan hanya satu bidang sahaja. Contohnya guru Bahasa Melayu selalu
melaksanakan penggabungjalinan ilmu sivik, moral, seni, matematik, pendidikan
Islam dan muzik dalam pengajarannya. Oleh itu, guru ini perlu menguasai ilmu
dari semua cabang pendidikan agar memudahkannya menyampaikan ilmu di bilik.
Guru harus berhati – hati agar tidak melakukan kesalahan penyampaian kepada
pelajar kerana ini akan memesongkan pandangan dan pengetahuan pelajarnya. Maka,
untuk menjadi guru berkesan agar pendidikan negara di tapak cemerlang menuntut
guru menjadi ilmuan berdasarkan nilai bitara.
3. Berkemahiran tinggi
Guru
bukan sekadar memiliki diploma perguruan atau ijazah sarjana muda pendidikan
tetapi apa yang amat penting pada seorang guru ialah berkemahiran tinggi dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan di bilik darjah. Seorang insan terpilih menjadi
guru kerana memiliki kemahiran istimewa sebagai penyampai ilmu di mana
kemahiran ini termasuk menguasai pelbagai teknik, kaedah dan pendekatan
pembelajaran. Ciri guru berkesan dilihat di bawah tunjang integriti iaitu
petunjuk akauntabiliti. Kemahiran dan pengetahuan sama – sama penting. Kedua –
duanya sangat diperlukan bagi pembangunan kepimpinan personal guru di bilik
darjah. Guru harus mahir mengawal keadaan kelas semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berlaku. Guru berkesan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang
mendalama dalam bidangnya membolehkannya mengajar dengan yakin, mengawal kelas
dengan baik serta merancang dan mengajar dengan baik. Guru perlu sentiasa
berusaha membuat penambahbaikan dalam kaedah, pendekatan dan teknik yang
digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajarannya. Walaupun guru telah
relevan dengan satu – satu teknik, namun guru juga perlu sekali –sekala mencari
alternatif lain untuk menambahbaik sesi pengajarannya agar penerimaan daripada
murid juga berkesan. Selain itu, ledakan teknologi hari ini terhadap dunia
pendidikan seperti penggunaan LCD, You Tube, Eduweb TV, Jalur lebar amat
meluas. Oleh itu, guru – guru perlu sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran
sejajar dengan tuntutan semasa. Teknologi sebagai satu wahana peyampaian ilmu
yang lebih progresif masa kini. Guru berkesan sentiasa bersedia
menghadiri kursus dan mempelajari teknologi baru untuk diaplikasikan dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran agar kemahiran ini membantu meningkatkan pencapaian
pelajarnya.
4. Jati diri yang tinggi
Dewasa
ini, cabaran hidup kian mencabar terutama barisan guru yang berdepan dengan
pelbagai karenah masyarakat di sekitarnya terutama pelajar, ibu bapa dan rakan
sekerja. Dasar langit terbuka telah mendedahkan budaya barat kepada kehidupan
masyarakat kita di Malaysia apatah lagi pelajar sekolah yang diperingkat kanak
– kanak dan remaja. Lihatlah berita panas berkaitan isu negatif antara pelajar
dengan guru di sekolah. Oleh itu, seorang guru perlu ada jati diri yang kuat
untuk menghadapi situasi keganasan yang sering ditimbulkan oleh pelajar di
bilik darjah. Ciri – ciri ini digariskan dibawah nilai bitara iaitu tunjang Semangat
Berpasukan dengan petunjuk - fokus matlamat dan hormat
– menghormati. Guru berkesan sentiasa melihat fokus tugas mereka di
bilik darjah. Fokus adalah matlamat dan objektif guru dalam penyampaian ilmu di
bilik darjah. Disamping tugas itu, guru perlu sentiasa mengawal disiplin
pelajar ketika aktiviti pembelajaran berlaku. Semangat begini membantu
mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Elakkan berlaku penghinaan atau
merendahkan pelajar yang boleh mewujudkan kebencian pelajar. Guru perlu
menangani masalah yang wujud dalam bilik darjah dengan profesional dan
diselesaikan segera sebelum perkara tersebut dibawa oleh pelajar ke luar dari
sekolah. Justeru, jika wujud sifat hormat – menghormati dalam bilik darjah
antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru pasti suasana
pembelajaran lebih ceria dan menyeronokkan. Oleh itu, guru berkesan perlu
memiliki nilai jati diri yang tinggi dalam menghadapi seribu macam karenah
pelanggannya dalam bilik darjah.
1. Kreatif dan Inovatif
Pengetahuan
dan kemahiran yang ditambah dengan nilai kreatif dan inovatif menjadikan sesi
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sangat menarik dan memberi kesan
terhadap pelajar. Tugas utama guru adalah merancang dan menjalankan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru perlu sentiasa mencari dan
merancang idea baru daripada sumber asli serta menghasilkan bahan yang kreatif
untuk dijanakan dalam pengajarannya. Guru berkesan bijak dalam menambah ilmu
pengetahuan bagi menyampaikan maklumat yang betul, terkini dan mantap kepada
pelanggannya. Aktiviti pembelajaran yang menggunakan bahan yang kreatif mampu
merangsang dan memotivasikan pelajar untuk berdaya saing dalam dunia pendidikan
global ini. Dengan ini, guru menyahut cabaran dalam tugasnya untuk sentiasa
membuat kajian tindakan terhadap refleksi pengajarannya bagi menanbahbaik hasil
dan keberkesanan tugasnya. Hal ini sejajar dengan ciri guru berkesan yang
disenaraikan oleh Dato’ Dr. Abdul Shukor Abdullah iaitu sentiasa berusaha
meningkatkan kualiti hasil pembelajaran. Penambahbaikan ini harus dilakukan
secara berterusan merangkumi cara mengajar, pendekatan baru untuk mengajar,
campuran pelbagai teknik pengajaran, latihan kerja secara berkesan ( Kaizen ).
Malah, guru berkesan berkerja dalam satu rangkaian untuk menambah kemahiran dan
pengetahuan yang dipanggil kerja berpasukan. Oleh itu, perbincangan dilakukan
antara guru berkaitan permasalahan pelajar kerana guru – guru amat memahami
situasi dan latar belakang pelajar. Ini memudahkan guru menyampaikan ilmu dan
menyelesaikan masalah yang wujud dalam sesi pengajaran dan pembelajarannya di
bilik darjah. Dengan penambahbaikan yang dilakukan pelajar tidak berasa bosan
dengan sesi penerimaan ilmu yang dialami saban hari. Malah pelajar sentiasa
rindu untuk menghadiri kelas guru berkesan tersebut.
Penutup
Fikirkan sejenak “ Untuk menjadi guru berkesan kita perlu
berubah menganjak paradingma, melakukan lonjakan quantum dengan merubah dan
meruntuh tembok penghalang pertama dan utama iaitu menolak perubahan ”
. Setiap orang mempunyai toleransi yang berbeza terhadap perubahan. Sekalipun
perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan semua perkara itu
kembali ke asalnya. Plato berkata “Kemenangan yang utama dan pertama
ialah menakluk diri ”. Dengan itu, jelaslah perubahan tidak terjadi
tanpa penggeraknya dan perubahan yang paling berat ialah perubahan personaliti
diri. Oleh itu, dengan adanya enam nilai bitara yang digariskan sebagai
petunjuk untuk seseorang guru mencapai tahap guru berkesan dan mengekalkan
personaliti bersahsiah tinggi dari semasa ke semasa. Aristotle pula berkata ,
“ We are what repeatedlydo. Excellence, then is not an act, but a habit ”.
Sesungguhnya kecemerlangan bukan terjadi secara automatik tanpa faktor – faktor
uyang menggalak dan merangsang setiap guru dan pelajar berusaha mencapai
matlamat dan kepuasan kendiri yang tinggi setelah bekerja keras, berkorban masa
dan tenaga yang bukan sedikit. Oleh itu, Usaha untuk meletakkan sesebuah
sekolah berpretij tinggi mestilah berfokuskan aktiviti di bilik darjah. Jika
semua guru memiliki ciri – ciri guru berkesan berdasarkan kepada petunjuk nilai
bitara tidak dinafikan semua sekolah di Malaysia sebagai institusi pendidikan
dapat mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia menjelang abad ke21 dan wawasan
2020.
DASAR MBMMBI
Pengenalan
Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris ( MBMMBI)
yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula pada tahun 2012 dan telah
diawalkan ke tahun 2011 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian
daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan negara kita.
Rasional penggubalan dasar ini dilihat dari aspek penggunaan bahasa Malaysia
sebagai [1]bahasa
kebangsaan dan bahasa Inggeris pula tetap menjadi bahasa ilmu. Dasar ini
merupakan dasar baru yang menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI).
[2]Kabinet
telah memutuskan memansuhkan PPSMI dan menggantikan dengan dasar baru iaitu
MBMMBI setelah mendapati dasar lama itu gagal mencapai matlamatnya dan
menjejaskan pencapaian murid sekolah rendah terutama di luar bandar. Secara
tidak langsung, dasar ini menghakis kedudukan bahasa Melayu yang menjadi bahasa
penghantar persekolahan sejak awal 1970-an. Justeru itu, timbul polemik sama
ada keputusan itu akan mengurangkan usaha meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris telah diketepikan atau isu PPSMI tidak dilihat secara holistik. Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata dalam satu sidang akhbar
MBMMBI yang menggantikan PPSMI disifatkan sebagai strategi pendidikan serampang
dua mata. Melalui MBMMBI, penekanan bahasa Inggeris diberikan terus dalam mata
pelajaran bahasa Inggeris dimana masa untuk mata pelajaran bahasa Inggeris
bertambah sebanyak 30 minit. Pelaksanaan dasar baru ini sejajar dengan
perubahan kurikulum pendidikan iaitu Kurikulum Standard Sekolah 2011. Oleh itu,
dalam kurikulum baru ini mata pelajaran bahasa Inggeris menerima banyak
penambahbaikan termasuk mata pelajaran bahasa Malaysia dan semua mata
pelajaran.
Para guru merupakan agen pelaksana dasar
kerajaan harus peka dan bersiap sedia menerima dasar baru ini MBMMBI. Oleh itu,
guru berperanan menjalankan program dan aktiviti di peringkat sekolah bagi
menjayakan dan memastikan keberkesanan dasar MBMMBI dalam agenda usaha kita
menjana modal insan kelas pertama, menghasilkan pelajar celik minda, membentuk
warga berilmu serta melahirkan insan ulul Albab menjelang wawasan 2020. Tepuk
dada tanya selera.
1.
Melaksanakan Pengajaran Pembelajaran Berkesan
2. Mewujudkan
Papan Buletin Kelab Bahasa
3. Menganjurkan
Bulan Bahasa
4. Membangun
Modul Akses Kendiri Berteraskan Bahasa
Renungkan
kembali keputusan mantan Perdana Menteri yang ke empat ketika mengubah Dasar Pandang ke Barat kepada Dasar
Pandang ke Timur suatu tika dulu. Kita melihat kepada budaya negara matahari
terbit yang maju dalam aspek ekonomi sedangkan mereka menggunakan bahasa
sendiri. Inilah yang menjadi inspirasi kita agar kita juga maju di peringkat
dunia dengan menggunakan bahasa sendiri. Kita juga pernah menjulang dasar
memartabatkan bahasa Malaysia di persada dunia.
Akhirnya, kita leka memperjuangkan
dasar PPSMI yang mengikut pendapat saya sebagai guru bahasa Malaysia, dasar ini
hampir mencapai matlamatnya. Senarionya, murid-murid sering menggunakan bahasa
Inggeris ketika hendak meminta izin keluar ke tandas contohnya. Saya kongsikan
satu peristiwa yang saya alami dalam bilik darjah di mana murid saya menjawab
soalan saya dalam bahasa Inggeris sedangkan saya mengajar mata pelajaran bahasa
Malaysia. Kesimpulannya, murid terkeliru untuk membezakan penggunaan bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris ditambah lagi dengan mata pelajaran bahasa Arab
dalam j-Qaf. Jika bahasa Inggeris hanya diajar dalam bahasa Inggeris sama
seperti bahasa Arab murid di peringkat sekolah rendah dengan mudah mengecam
tiga bahasa ini dan meneruskan pembelajaran yang lain dalam bahasa ibundanya
iaitu bahasa pengantar kita. Impaknya bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
merentas kurikulum dan kokurikulum.
Justeru, dasar MBMMBI amat sesuai menggantikan dasar PPSMI bagi
melonjakkan kedudukan pendidikan di Malaysia sejajar dengan kemajuan
globalisasi. Barisan guru perlu menganggap ini satu cabaran yang menguji dan
mematangkan pengalaman kita bagi menerajui tugas dan amanah membangunkan modal
insan dan melakar masa depan yang gemilang. ”Berat mata memandang, berat
lagi bahu memikul” , dasar ini menuntut kerjasama semua pihak dibidang lain
terutama media massa untuk memberi keutamaan dan keyakinan terhadap kepentingan
bahasa Malaysia disamping menyuburkan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.
Kejayaan dasar ini penting untuk masa depan generasi dan negara bangsa akan
datang kerana bahasa dari sudut sejarah bersifat dinamik dalam memberi respon
terhadap budaya ilmu. Ini bukan satu
mimpi atau angan - angan Mat Jenin tetapi ini adalah realiti yang warga
pendidikan bakal tempuhi serta perjuangkan demi maruah negara bangsa di masa
akan datang.
Sikap yang menyatakan bahawa
memartabatkan dan memperkukuh bahasa Malaysia akan menyebabkan negara
ketinggalan dalam pembangunan dunia adalah sikap yang tidak saintifik dan
ketinggalan zaman. Dinamika pembangunan modal insan kita membolehkan pelajar
kita belajar di sebarang negara dalam dunia. Apa yang penting ialah penguasaan
ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang amat diperlukan oleh negara untuk
maju dan membangun. Semuanya bermula dibangku sekolah iaitu di bahu seorang
insan bergelar guru sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan