Selasa, 6 Disember 2011


Medium pencetus idea guru untuk meningkatkan tahap profesionalisme. Kupasan lebih menyeluruh merentasi dunia pendidik  tanpa sempadan.

Isnin, 5 Disember 2011

Teknologi Maklumat Menyelesaikan Masalah Pembelajaran


Pembangunan pesat dalam teknologi pada abad ke 21 telah mendedahkan generasi kini kepada inovasi – inovasi baru dalam dunia digital. Gelombang ledakan teknologi yang begitu pantas turut memasuki dunia pendidikan sejak 10 tahun yang lalu. Menurut Bates ( 2000 ), keperluan untuk melakukan sesuatu dengan lebih pantas, perubahan keperluan dalam masyarakat dan kesan penggunaan teknologi – teknologi baru di dalam pengajaran dan pembelajaran  telah menjadi faktor utama perubahan di dunia pendidikan. Proses pengajaran dan pembelajaran turut mengalami integrasi dalam fungsinya menyebar maklumat secara bersemuka dalam bilik darjah. Kaedah konversional chalk and talk  di mana guru sebagai penyampai maklumat secara total menjadi tutor kepada pelajar dengan kapur dan papan tulis sudah tidak relevan dengan kehendak pendidikan hari ini. Pelbagai dasar dan program pendidikan telah disusun dan dilancarkan bagi mentransformasikan corak pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan negara kita. Masalah dalam pengajaran di bilik darjah boleh membantutkan misi dan visi pendidikan negara dalam melahirkan modal insan memiliki minda kelas pertama.  Kegagalan guru dalam membuat perancangan yang teliti akan merugikan murid dan mewujudkan masalah di kalangan pelajar semasa proses pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu, guru perlu sentiasa mengesan masalah pengajaran yang dihadapi melalui kajian tindakan terhadap keberkesanan objektif dan matlamatnya dalam bilik darjah. Masalah pengajaran yang sering dihadapi dalam bilik darjah seperti pencapaian yang rendah kerana kurang motivasi mengikuti pembelajaran, sukar untuk memahami sesuatu konsep yang diajar, kurang keyakinan diri untuk menyatakan idea, tidak memiliki pengetahuan sedia ada yang luas. Masalah ini berkait rapat dengan cara pembelajaran yang dialami oleh seseorang pelajar kerana perasaan dan kesediaan minda berasa bosan menyebabkan kurang tumpuan dalam bilik darjah yang akhirnya sukar untuk menjana sesuatu isi pembelajaran dalam peti ingatan. Justeru, teknologi maklumat yang lebih sofistikated dalam pengurusan mampu menyelesaikan masalah pembelajaran dalam bilik darjah.


Perkembangan teknologi maklumat dalam era pendidikan seperti perisian aplikasi, pembinaan blog pembelajaran seperti eduweb TV, perisian permainan instruksional, perisian latih tubi, telah membantu menyelesaikan masalah guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Komputer merupakan alat kognitif yang paling efisen dan efektif kerana kelebihannya dari sudut interaktiviti serta kawalan pengguna. Interaktiviti serta kawalan pengguna membolehkan pelajar mengawal, memanipulasi dan menjelajah maklumat yang tidak terhad. Kesan positif ini bukan sahaja dilihat kepada perspektif seorang pelajar malah ia juga memberi kesan yang baik kepada guru dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tanpa kengkangan masa dan beban tugas lain.